saya fikir

saya fikir

by Faez

Bila mana saya diajak untuk menyumbangkan penulisan untuk isi kandungan saya. Magazine dalam talian, saya terus berkata dan sudah tentulah saya katakan dalam otak sahaja – kenapa di dalam neraka ini yang saya diajak untuk menyumbang penulisan?

Saya tak pasti apa kriteria yang dilihat pada diri saya ini yang membuatkan saya dijemput. Tak mungkin daripada segi penampilan – walau pon saya yakin dengan penampilan saya yang nampak intelektual – kerana saya pernah baca hasil penulisan kawan saya di zaman universiti yang penampilannya mampu menawan mana-mana wanita dan ianya terus membuatkan saya percaya kepada hubung kait penampilan tidak menjamin penulisan yang baik.

Jika dipilih atas dasar intelektual, ini amatlah pelik sekali walaupon ianya boleh jadi sebab yang paling munasabah dalam pemikiran saya kerana penampilan saya yang nampak intelektual sudah tentulah mencerminkan pemikiran intelektual. Mungkin agak bercanggah dengan hubung kait antara penampilan dan hasil penulisan tetapi kita sedang berbahas tentang minda intelektual yang mencerminkan penampilan intelektual namun hasil penulisan yang baik? Belum tentu lagi. Apa yang ingin saya simpulkan ialah saya yakin dengan tahap pemikiran dan penampilan saya tetapi belum tentu saya mampu menghasilkan penulisan yang baik tetapi jika saya berjaya membuat anda membaca hingga ke ayat ini, not bad jugaklah apa yang saya tulis ni boleh buat anda hook sehingga disini.

Selepas lima saat saya penat berfikir kenapa saya dijemput (lima saat kedengaran sekejap tetapi di dalam dimensi otak saya lima tahun sudah berlalu) saya terus bersetuju untuk menerima jemputan tersebut. Kini saya terbuntu dengan cabaran iaitu apa yang saya hendak tulis. Saya bertanya ada tema? Tidak ada. Ada arah tuju? Tidak ada. Ada subjek atau topik yang hendak diangkat? Tidak ada. Ada bayaran? Tidak ada.

Jikalau begitu lebih baik tidak ada sahaja penulisan ini atau lebih hebat tidak ada saya. Magazine dalam talian ini. Sudah pastilah saya katakan dalam otak sahaja untuk tidak menyinggungkan pihak yang menjemput saya. Namun jika dilihat daripada keterujaan dan idea saya. Magazine yang bebas dan boleh menjadi apa sahaja ianya suatu kemerdekaan buat penulis yang dijemput untuk membawa dan mendiskusi topik atau tema yang dekat dengan diri mereka. Membuatkan buah fikiran itu lebih intimate dan personal kerana ianya adalah diri mereka atau jika boleh disuarakan mungkin mereka akan berkata inilah saya.; inilah diri saya.

Disebalik kebebasan tema penulisan, saya masih lagi buntu apa yang ingin ditulis. Tambah tambah lagi saya ditekan untuk kalau boleh menyerahkan hasil penulisan saya secepat mungkin (dalam masa sehari dua tanpa pembayaran – pffft!). Jadi saya mengambil inspirasi daripada kata kata yang penulis terdahulu selalu berkata – tulis je la tolol! Sudah tentulah tolol itu saya tambah untuk pembacaan lebih dramatik tetapi kata kata tersebut yang sebenarnya di dalam bahasa Inggeris ada betulnya.

Tulis sahaja jika anda ingin menulis. Apa yang terlintas di fikiran sekarang, tulis. Nampak sesuatu yang boleh menjadi cerita, tulis. Ada idea bodoh yang tercetus daripada kehidupan seharian, tulis dan jadikan cerita. Ada perasaan cinta kepada orang yang anda malu untuk bercakap, tulis dan tekan butang hantar. Mulakan menulis apa yang ada rasa, fikir, dan alami untuk dijadikan cerita jika bukan untuk masyarakat umum, mungkin untuk cinta hati atau anak anak anda kelak. Supaya mereka tahu dunia ini penuh dengan cerita dan ianya bergerak dengan cerita yang disampaikan.

Jika anda masih lagi membaca di perenggan ini, saya berasa amat kagum. Kagum dengan ketabahan anda untuk terus membaca serta kagum dengan diri saya sendiri kerana masih lagi berjaya memancing anda hanya dengan mata kail murah dan joran batang buluh. Umpan saya guna pon hanyalah apa yang saya terlintas dalam benak fikiran saya. Apa yang terlintas itu yang saya taip – literally! Mudah dan ringkas, tidak perlu saya berfikir secara mendalam dan menghasilkan struktur ayat yang gempak. Jika anda tertanya tanya bagaimana saya bermula, saya akan jawab saya sudah fikirkan cara untuk menutup penulisan ini baru saya fikir cara untuk mulakan. Juga kerana tidak ada tema maka saya boleh terus menulis tanpa mewujudkan hubung kait dengan tema atau cuba membawa penulisan ini ke suatu destinasi. Saya harap dengan apa yang saya kongsikan ini akan membuka minat dan keinginan lebih ramai pembaca untuk menulis dan menyumbangkan hasil buah fikiran anda kepada saya. Magazine. Jangan risau, mereka tidak akan judge anda. Mungkin ada la sikit secara tertutup tetapi mereka tetap akan pamerkan penulisan anda.

Cukup sudah empat isi perenggan saya tulis. Cukup syarat seperti yang cikgu Bahasa Melayu saya ajar dulu. Semuanya saya tulis tanpa rangka. Malahan tajuk penulisan ini pon saya terfikir ketika menaip baris ini, juga dengan harapan yang tajuk penulisan ini akan jadi satu kolum khas untuk saya. Ya! Walaupon pada mulanya saya malas dan merungut kerana disuruh menyumbang hasil penulisan, serta kesibukan kerja dan pelbagai projek yang ingin dilaksanakan, saya masih mahukan lagi sesuatu untuk kepuasan saya sendiri. Bak kata seorang artis tempatan bernama Sattama – manusia tidak pernah puas.

Tamak!

back to top