saya dan teater

saya dan teater

By Irfan Ishak

Menjadi suatu cabaran untuk aku untuk menulis artikel ataupun penulisan berbentuk alam maya seperti ini kerana sebelum aku aku hanya menulis hanya untuk aku sebagai suatu luahan yang tak mampu diekspresikan oleh fizikal aku. Aku hanyalah seorang penulis hingusan yang mengisi masa aku dengan menggabungkan beberapa prosa menjadi sebuah puisi dan memerhati keadaan sekeliling aku untuk diterjemahkan dalam bentuk skrip pentas.

Teater? Apakah itu teater? Adakah teater mengubah hidup aku? Pentingkah teater dalam hidup aku? Akan aku kupas satu demi satu supaya setelah habis penulisan aku dikhatam, persepsi yang membaca terhadap teater itu akan berubah.

Teater merupakan suatu bentuk pementasan yang menggabungkan beberapa aspek seni seperti lakonan, tarian, dan juga muzik. Teater juga mempunyai beberapa cabang dan aliran yang berbeza seperti teater klasik, muzikal, moden, tradisional mahupun bangsawan. Tidak perlu aku terangkan bagaimana setiap aliran itu kerana bukan itu tujuan perkongsian aku pada kali ini.

Titik permulaan aku pada teater bermula ketika aku dipilih untuk mewakili sebuah institusi pengajian awam dalam suatu pertandingan teater yang agak besar. Pada waktu itu, terkejut dan juga tidak yakin. Manakan tidak, seorang insan yang kosong ilmu di dada tentang teater, tidak pernah berlakon dan jauh sekali menghadap ratusan makhluk di hadapan aku. Namun, aku teruskan juga sebab pegangan aku hanya satu, kita takkan tahu tentang sesuatu selagi mana kita tidak melaluinya.

Bermula daripada pertandingan tersebut, aku rasakan diri aku ini bukan lagi insan yang lemah, kosong, dan hanya diam apabila dipijak. Kini aku mampu berhujah dan berucap, lantang bersuara. Teater banyak mengubah hidup aku. Paling ketara, keyakinan diri aku. Aku sudah mampu nak berdepan dan bercakap di hadapan ramai orang. Itu antara kelebihan jika berteater.

“Teater memanusiakan manusia”. Sebaris mutiara kata daripada seorang penggiat teater di Malaysia. Aku tak dapat nak sangkal ayat itu. Aku belajar banyak tentang kehidupan dengan teater. Setiap pementasan akan memberi sinar terhadap setiap penggiat tentang kehidupan. Gelapnya hari si buta, peritnya si miskin ibu, hitamnya hati binatang bertopengkan manusia. Bahasa, tidak semua pementasan berbahasakan bahasa moden, ada diantaranya berbahasa melayu lama dan juga bahasa bangsawan seperti bahasa istana. Pendidikan tidak formal, teaterlah itu.

Dunia teater serba luas, perlukan keberanian dan juga kecekalan untuk menyelami setiap satu daripadanya. Pengakhiran kalam dalam salam terindah ini, jangan menuding jari pada teater dan setiap yang berjiwanya, andai ada anasir yang cuba mengkhianati keindahan seni ini. Andai tersalah, hukum manusia itu dan bukannya perkara yang dilakukan mahupun agama yang dianuti. Semoga perkongsian yang secebis akal ini mampu membuka suatu fahaman berbeza terhadap dunia teater.

 

Dalam kalam menyambut salam,

Pasti terluah setiap dipendam,

Usah direndam lara yang dalam,

Andai yang indah boleh kau selam.

back to top